Malaysia-India rancang tingkatkan FTA, perkukuh hubungan ekonomi

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto Bernama

KUALA LUMPUR,25 Ogos - Malaysia dan India merancang untuk meningkatkan hubungan ekonomi melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dipertingkatkan,susulan lawatan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini.

Dalam pertemuan dua hala tersebut,kedua-dua Perdana Menteri membincangkan kerjasama erat dalam beberapa bidang,termasuk ekonomi digital,pembuatan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pelaburan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India yang ditandatangani pada 2011 akan dipertingkatkan untuk meliputi perdagangan dan pelaburan yang lebih luas.

Beliau,yang turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan tersebut menjelaskan bahawa kedua-dua negara diberi tempoh tiga bulan untuk memberikan maklum balas mengenai bidang yang ingin diberi tumpuan serta parameter yang diperlukan untuk menaik taraf perjanjian tersebut.

Lawatan itu juga membuka peluang perniagaan yang berpotensi besar dalam teknologi baharu,tenaga boleh baharu,kimia dan petrokimia serta pembangunan tenaga kerja.

Perdagangan antara Malaysia dan India mencatatkan nilai AS$16.5 bilion pada tahun lalu.

India kini merupakan destinasi ke-11 terbesar bagi eksport Malaysia dan sumber import ke-12 terbesar negara.