Enam premis dijilat api, punca kebakaran disiasat

Dua buah kenderaan dan sebuah van hangus terbakar dalam kebakaran di Kuantan

KUANTAN,26 Ogos- Enam premis,termasuk empat bengkel kereta musnah dalam kebakaran di belakang sebuah stesen minyak Jalan Teluk Sisek,di Kuantan,Pahang awal pagi tadi.

Kebakaran itu membabitkan empat bengkel kereta,sebuah kedai makan dan tempat sembahyang jenis bangunan separuh kekal yang hangus sepenuhnya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata,kebakaran itu turut melibatkan dua kereta dan sebuah van turut terbakar dianggarkan 50 peratus.

"Berdasarkan laporan,bomba menerima panggilan pada pukul 1.58 pagi dan seramai 20 pegawai dan anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan,Indera Mahkota dan Taman Tas dengan tiga jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Kerja penyejukan di sekitar lokasi dilakukan bagi tujuan menghalang api daripada merebak dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 4.14 pagi," katanya.

Bagaimanapun kebakaran itu tidak membabitkan mangsa. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.