Inflasi Malaysia kekal pada paras dua peratus setakat Julai

Kadar inflasi Malaysia kekal pada paras dua peratus setakat Julai lalu / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,22 Ogos - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi Malaysia kekal pada paras dua peratus setakat Julai lalu.

Bagaimanapun,mata indeks bagi bulan tersebut meningkat kepada 133.1 mata berbanding 130.5 mata berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan ia didorong peningkatan kumpulan utama antaranya restoran dan perkhidmatan penginapan,penjagaan diri,perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan

"Manakala,kumpulan Makanan dan Minuman merekodkan peningkatan lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya," menurut DOSM menerusi kenyataan.

Inflasi teras turut mencatat sedikit peningkatan,namun kekal pada 1.9 peratus,kadar sama direkodkan bagi Jun 2024.

Kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional pada dua peratus.

Bagaimanapun,empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang; Sarawak; Pahang dan Selangor.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih,inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam,Filipina,Korea Selatan dan Indonesia namun,lebih tinggi berbanding Thailand dan China.