Kejuaraan Kelab ASEAN: TFC mula langkah kiri

Aksi TFC dan Svay Rieng FC pada Kejohanan Kejuaraan Kelab ASEAN/ Foto BERNAMA

KUALA NERUS,22 Ogos-Terengganu FC (TFC) memulakan saingan Kumpulan A,ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dengan langkah kiri apabila tumpas 2-3 kepada kelab Kemboja,Svay Rieng FC.

Pasukan pelawat bermula garang apabila melancarkan serangan seawal minit pertama untuk meledak gol pembukaan hasil tendangan leret penyerang import kelahiran Brazil,Gabriel Costa pada minit ke-12.

Nasib TFC terus malang apabila pasukan pelawat meledak gol kedua kali ini hasil rembatan penyerang import,Pablo Augusto yang sempat menyambar bola muntah diselamatkan penjaga gol,Suhaimi Husin.

Mendahului 2-0,skuad kendalian Jose Munoz itu semakin rancak melancarkan serangan bagi menyempurnakan misi membawa pulang tiga mata ke Kemboja.

Ketinggalan 2-0,skuad TFC mula bangkit mengatur kembali rentak permainan mereka dengan lebih tersusun pada babak kedua permainan dan berjaya menghasilkan gol pertama menerusi Manuel Ott pada minit ke-55 untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Bagaimanapun,kegembiraan lebih 5,000 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Min Ratanak meledak gol ketiga Svay Rieng FC pada minit ke-86 untuk kembali menjarakkan kedudukan 3-1.

Pada minit ke-90,TFC berhasil menjaringkan gol kedua hasil sepakan percuma yang disempurnakan Safawi Rasid,namun gol tersebut tidak mampu menahan Svay Rieng FC untuk mengutip tiga mata berharga dengan keputusan 3-2.