70 koperasi MPOB, disaran bantu pekebun kecil

Datuk Seri Johari Abdul Ghani

BANDA HILIR,20 Ogos- Sebanyak 70 koperasi bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)disaran membantu pekebun-pekebun kecil memajukan tanah terbiar dengan tanaman sawit bagi memastikan pengeluaran komoditi tersebut tidak berkurangan.


Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata,Malaysia masih mempunyai kadar penaman semula yang rendah,iaitu pada kadar 1.8 peratus berbanding dengan kadar tahunan empat hingga lima peratus yang disarankan amalan baik industri.

Terdapat sekitar 1.7 juta hektar tanaman sawit berusia lebih dari 19 tahun di negara ini dan sekiranya tidak ditangani pengeluaran sawit negara akan terkesan terhadap pengeluaran dan eksport negara.


Ia sebagai langkah segera yang perlu dilaksanakan memandangkan hasil pengeluaran sawit kini berkurangan kepada 18.5 juta metrik tan berbanding 19.6 juta metrik tan sejak 10 tahun lalu.

"Kita akan pastikan bahawa pekebun-pekebun kecil ini terutama yang telah berumur dan tidak berminat lagi untuk mengusahakan tanaman semula kita mahu kira-kira 70 koperasi bawah MPOB memainkan peranan untuk bertemu dengan pekebun-pekebun kecil yang tidak mahir bagi mengendalikan penanaman semula.

"Kerajaan akan memberi bantuan untuk penanaman semula. Setakat hari ini kita punya permohonan sudah mencecah hampir 5,900 hektar. Jadi tahun depan kemungkinan besar kita akan minta pada kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) untuk tanam semula kira-kira 9,000 hektar tujuannya adalah untuk memastikan pengeluaran kelapa sawit kita tidak berkurang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2024 di Bandar Hilir,Melaka.


Kementerian juga akan memastikan penanaman semula itu melalui proses kemampanan yang perlu dipraktikkan oleh secara keseluruhan 442,000 pekebun kecil yang mengusahakan sekitar 1.5 juta hektar daripada keluasan sawit negara dalam usaha menembusi pasaran baharu seperti benua Afrika,Timur Tengah serta India.