PM sifatkan pemergian Rozaid seperti kehilangan keluarga dan sahabat

Terdahulu Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa hampir sejam bagi menziarahi keluarga Allahyarham.

SUBANG JAYA,19 Ogos- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.

Perdana Menteri yang ditemui ketika menziarahi jenazah di Masjid Putra Heights di sini pagi ini berkata secara peribadi pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.

“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Di pejabat Perdana Menteri,beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik. Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar,dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya.

Terdahulu Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa hampir sejam bagi menziarahi keluarga Allahyarham. - BERNAMA

BERITA BERKAITAN:

Allahyarham Rozaid berdedikasi,komited laksanakan tugas- Fahmi

Ahmad Zahid ucap takziah atas pemergian Rozaid Abdul Rahman

Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO,Rozaid Rahman meninggal dunia