MAPIM saran NGO dilibatkan untuk bantu merawat rakyat Palestin

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR,19 Ogos- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mencadangkan agar organisasi bukan kerajaan (NGO) di negara,turut dilibatkan dalam usaha membantu pesakit dari Gaza yang dibawa ke Malaysia untuk menerima rawatan.

Presiden MAPIM,Mohd Azmi Abdul Hamid berkata urusan berkait dengan rakyat Palestin itu tidak harus dibataskan sebagai tanggungjawab kerajaan sahaja kerana NGO juga boleh dilibatkan agar usaha komprehensif membantu golongan itu menyesuaikan diri di Malaysia dapat dilakukan.

“Banyak isu yang terlibat dalam menguruskan pesakit dan mereka yang mengiringi pesakit dari Gaza. Semua urusan itu adalah berkait dengan pesakit,terutama kanak-kanak,yang dijangka berada lama di Malaysia… oleh itu,isu tempat tinggal,perbelanjaan harian,dokumentasi,pergerakan dan tanggungan hidup perlu diambil kira,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata misi yang diatur oleh Kerajaan Perpaduan itu adalah inisiatif yang amat membanggakan,mengambil kira usaha kerajaan untuk membantu pesakit dari Gaza mendapatkan rawatan lanjutan dalam negara.

Sebelum ini,dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia membawa rakyat Palestin yang cedera akibat serangan berterusan rejim zionis Israel selamat tiba di Pangkalan Udara Subang di sini pada kira-kira pukul 2.00 petang,16 Ogos lepas.

Serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lepas telah meragut lebih 40,000 nyawa,kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,serta mencederakan lebih 92,400 orang,demikian menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.- BERNAMA