ICMLP 2024 bakal meghimpunkan pemain dalam bidang logistik maritim, pelabuhan dari seluruh dunia

Persidangan Antarabangsa Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 September ini bakal menghimpunkan pemain dalam industri tersebut termasuk pemimpin pemikiran,pakar industri,dan inovator dari seluruh dunia / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA,16 Ogos - Persidangan Antarabangsa Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 September ini bakal menghimpunkan pemain dalam industri tersebut termasuk pemimpin pemikiran,dan inovator dari seluruh dunia.

Persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan menyediakan platform dinamik kepada para peserta bertukar idea dan amalan terbaik dalam logistik maritim,pengurusan pelabuhan,pengurusan rantaian bekalan,dan pengangkutan.

"Sepanjang tiga hari,peserta akan terlibat dalam pembentangan yang penuh inspirasi,perbincangan panel,dan sesi interaktif yang membincangkan cabaran dan peluang yang paling mendesak dalam bidang maritim.

"Persidangan juga turut merangkumi tema-tema penting seperti pasaran baru dalam pembangunan pelabuhan,undang-undang maritim,pengurusan risiko dalam maritim dan logistik,pelabuhan pintar,penghantaran hijau,pembinaan kapal,keselamatan siber.

"Turut dibincangkan adalah mengenai pengurusan rantaian bekalan digital,eksploitasi sumber laut yang lestari,tadbir urus yang bertanggungjawab secara sosial dalam logistik,kepelbagaian budaya di bandar pelabuhan,logistik kemanusiaan dalam tindak balas bencana,pendidikan dan latihan untuk profesional maritim," menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Persidangan dianjurkan oleh Netherlands Maritime University College (NMUC) dengan kerjasama Institut Latihan Pelabuhan (PTI) daripada Akademi Sains,Teknologi,dan Pengangkutan Maritim Arab (AASTMT),STC International,serta dianjurkan bersama oleh MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) dan Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT).

Kenyataan turut memaklumkan,penceramah akan membentangkan pelbagai perkara dalam industri berkenaan,selain berkongsi pandangan serta dapat juga menginspirasikan peserta melalui sesi berinteraksi dengan peserta.

"Acara ini menekankan inovasi,kerjasama,dan kemajuan pengetahuan dalam logistik maritim dan pengurusan pelabuhan,serta menggariskan kepentingan logistik yang cekap,lestari,dan berdaya tahan untuk perdagangan global,pertumbuhan ekonomi,dan keterhubungan dalam landskap teknologi dan geopolitik yang berkembang pesat," ujar kenyataan itu.

ICMLP 2024 turut menjemput para pempamer untuk persembahkan produk atau perkhidmatan mereka dan mengalu-alukan penaja untuk menyokong acara berprestij itu.

ICMLP juga menyediakan peluang unik bagi syarikat untuk meningkatkan keterlihatan mereka,berinteraksi dengan pemimpin industri yang berpengaruh,dan menjalin hubungan yang berharga dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor maritim,sekali gus meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam kemajuan industri.

Maklumat lanjut dan pendaftaran,boleh layari laman web icmlp.nmuc.edu.my.