Pelarasan gaji penjawat awam pacu pertumbuhan ekonomi

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Nga Kor Ming / Foto Fail

KUALA LUMPUR,15 Ogos - Pelarasan gaji penjawat awam dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia secara signifikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,Nga Kor Ming berkata ia secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam sektor hartanah dan runcit.

"Peningkatan dalam tahap pendapatan penjawat awam dijangka merangsang perbelanjaan domestik. Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk PKS,terutama bagi mereka dalam sektor hartanah dan runcit,menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

"Ia juga akan memberi impak berbilion ringgit dalam perbelanjaan dan menjana kesan berganda kepada pasaran," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Nga,beberapa institusi antarabangsa termasuk JP Morgan dan Goldman Sachs telah menaikkan rating mereka bagi pasaran kapital Malaysia.

Institusi kajian ekonomi juga mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara dalam suku kedua tahun ini melangkaui enam peratus,mengatasi jangkaan awal kerajaan.

Dalam suku pertama tahun ini,ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus tahun ke tahun,dipacu oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah,jumlah dagangan tinggi dan pemulihan pasaran buruh.