Lawatan kerja Speaker Dewan Rakyat diteruskan ke DUN zon timur

Yang Dipertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,10 Ogos- Yang Dipertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul akan meneruskan lawatan kerjanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di zon timur meliputi negeri Kelantan,Terengganu dan Pahang bermula esok hingga 13 Ogos ini.

Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen dalam kenyataan memaklumkan ia merupakan kesinambungan lawatan Johari ke DUN zon selatan pada 23 hingga 25 Julai dan DUN zon utara pada 5 hingga 8 Ogos lalu.

Lawatan kerja ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini akan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 11 Ogos.

Ia diikuti dengan lawatan kerja ke DUN Terengganu pada 12 Ogos dan Dewan Negeri Pahang (13 Ogos).

Sementara lawatan kerja ke DUN Selangor pula pada 15 Ogos.

“Sepanjang lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ini,antara tunjang perbincangan beliau adalah merakyatkan institusi legislatif,pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan legislatif serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.