Malaysia di landasan tepat capai sasaran RM3.6 bilion dalam industri pusat data menjelang 2025

Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR,7 Ogos - Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pendapatan RM3.6 bilion dalam industri pusat data dan perkhidmatan awan,menjelang 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching memaklumkan ia hasil komitmen pemain industri yang membuat pelaburan signifikan dan mengembangkan operasi mereka di negara ini.

Beliau berkata,pelaburan signifikan itu bukti keyakinan syarikat terkemuka dunia terhadap negara ini.

"Kita percaya,kita berada pada landasan yang tepat kerana kita lihat ramai pemain industri masuk ke Malaysia untuk pelaburan ekonomi digital dan banyak pusat data yang sedia ada di sini turut mengembangkan operasi mereka. Ada yang datang berjumpa saya dan katakan mahu menambah pelaburan di Malaysia.

"Kita ada nama-nama besar seperti Microsoft,Amazon,bila mereka di sini pasti pembekal mereka akan tertarik. Jadi,mereka juga akan mengajak pembekal mereka untuk datang ke Malaysia. Jadi,peluang ini kita lihat akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Teknologi Awan dan Pusat Data 2024,di sini.

Tambah Teo,keberhasilan tersebut turut didorong oleh komitmen kerajaan terhadap pendigitalan dan usaha merangsang ekosistem berinovasi.

Sehubungan itu,Malaysia perlu terus memanfaatkan transformasi pendigitalan dengan menggunakan kelebihan sedia ada untuk menjadi peneraju dalam sektor tersebut.