Perjalanan feri penumpang Pulau Langkawi - Kuala Kedah, Kuala Kedah - Langkawi dibatalkan

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd menyediakan perjalanan tambahan untuk pilihan kepada penumpang-penumpang

LANGKAWI,27 Julai - Tiga perjalanan feri penumpang laluan Pulau Langkawi - Kuala Kedah dan Kuala Kedah - Langkawi hari ini terpaksa dibatalkan akibat cuaca buruk di laut.

Keadaan itu menyebabkan 1,698 penumpang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata,perjalanan yang dibatalkan ialah perjalanan pukul 2.30,4.30 dan 6.00 petang dari Pulau Langkawi.

Manakala perjalanan dari Kuala Kedah pada pukul 4.30,5.30 dan 7.30 petang turut dibatalkan.

Beliau berkata ketinggian ombak mencapai hingga lebih 4 meter dan kelajuan angin lebih kurang 16 hingga 18 knots.

Keadaan itu boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil.

Katanya Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menyediakan perjalanan tambahan untuk pilihan kepada penumpang-penumpang yang ingin menaiki perjalanan tambahan laluan ke Pulau Langkawi-Kuala Perlis pada pukul 6.00 petang tadi (Pulau Langkawi) dan 8.00 malam ini (Kuala Perlis).

Pada masa sama,penumpang yang ingin menukarkan tarikh dan masa untuk hari berikutnya boleh membuat atau mengikut proses yang sedia ada.

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi.