Kadar keciciran murid catat trend penurunan, bukti komitmen berterusan kerajaan

Kadar keciciran murid yang tidak mendapat pendidikan di sekolah rendah menunjukkan trend penurunan iaitu 0.89 peratus tahun lepas,berbanding 1.86 peratus pada 2019 / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,25 Julai - Kadar keciciran murid yang tidak mendapat pendidikan di sekolah rendah menunjukkan trend penurunan iaitu 0.89 peratus tahun lepas,berbanding 1.86 peratus pada 2019.

Ini berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) dari tahun 2019 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan,Wong Kah Woh berkata data itu menunjukkan enrolmen bagi kanak-kanak ke sekolah rendah,mencapai 99.11 peratus ketika ini.

Ini sekali gus,membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan kementerian untuk menyediakan pendidikan yang direncanakan,sesuai dengan perkembangan murid seawal tahun satu hingga tahun enam.

"KPM telah melaksanakan dasar pendidikan wajib berkuatkuasa pada tahun 2003. Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan,tiap-tiap ibu bapa yang merupakan warga Malaysia yang tinggal di Malaysia dan anak-anak mereka yang telah mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa,didaftarkan sebagai murid di sekolah rendah pada tahun itu dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan wajib iaitu sehingga tahun enam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi persidangan Dewan Negara,di sini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol yang ingin mengetahui statistik kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan sekolah rendah dalam tempoh dua tahun lalu.