JPJ Perlis laksana advokasi keselamatan jalan raya kepada pemandu kenderaan

Foto Ihsan JPJ Perlis

KANGAR,12 Julai- Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Perlis menerusi Unit Keselamatan Jalan Raya melaksanakan advokasi Keselamatan Jalan Raya di sekitar Kangar dan Padang Besar.

Advokasi kali ini melibatkan sebanyak 27 buah kenderaan pelbagai jenis dengan menyentuh berkenaan peraturan penggunaan cermin gelap,segi tiga keselamatan serta pemakaian tali pinggang keledar,termasuklah bagi penumpang belakang berdasarkan peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008) yang bermula 1 Januari 2009.

Menurut Pengarah JPJ Perlis,Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya,advokasi turut melibatkan premis kereta sewa untuk memberi kesedaran berkenaan permit sewa pandu dan peraturan penggunaan cermin gelap iaitu peraturan ketelusan cahaya.

"Inisiatif yang dilaksanakan ini juga bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan berikutan jumlah mereka yang dikenakan saman kian meningkat."

"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2024,Bahagian Penguatkuasa JPJ Perlis berjaya mengutip kompaun saman sebanyak RM 1,574,140.00,meningkat 37.56 peratus atau RM 591,250.00 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 dimana jumlah kompaun dikutip hanya RM 982,890.00," kata Fatimah kepada pemberita,hari ini.

Dalam masa sama,usaha mendekati masyarakat mengenai pendaftaran JPJeID dan penggunaan aplikasi MyJPJ turut sama dilakukan dan ketika advokasi terdapat 47 orang awam yang ditemui telah menggunakan aplikasi MyJPJ.