Kemalangan maut Genting Highlands: Pemandu bas direman empat hari

FOTO POLIS BENTONG

KUANTAN,30 Jun- Pemandu bas pesiaran yang terlibat dengan kemalangan yang mengorbankan dua warga China ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands,Bentong semalam direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan,lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong sekitar 10.30 malam tadi.

Pemandu bas berkenaan mula direman hari ini untuk membantu siasatan.

Semalam media melaporkan pemandu bas itu tidak mempunyai lesen memandu dan memiliki 27 saman lampau melibatkan pelbagai kesalahan.

Dalam nahas jalan raya kira-kira pukul 11 pagi itu,dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di KM 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.