BRICS, platform buat negara-negara membangun bersuara - Mohamad

Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR,27 Jun- BRICS merupakan landasan penting bagi memastikan dunia tidak dikuasai oleh mana-mana negara besar.

Jelas Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan,blok ekonomi itu merupakan gabungan yang tepat untuk negara-negara membangun bersuara di pentas antarabangsa.

"Ia merupakan satu asas landasan untuk kita melihat bahawa dunia ini jangan terlalu condong diurus oleh satu pihak sahaja. Maka,BRICS satu gabungan negara besar,mempunyai KDNK besar."

"Kita memasuki blok yang agak longgar,boleh membawa suara kita,boleh bawa suara dunia ini yang kita nak lakukan agar Malaysia boleh bersuara di banyak pentas. BRICS merupakan satu pentas yang besar," kata Mohamad di Parlimen.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Machang,Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang ingin tahu kesediaan negara bertemu Presiden Russia,Vladimir Putin.

Datuk Seri Mohamad Hassan tidak menafikan,Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima banyak jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi.

Bagaimanapun,ia perlu ditentukan secara teliti bagi menjaga hubungan diplomatik sedia ada.

BRICS merupakan blok ekonomi yang kini disertai Brazil,Rusia,India,China dan Afrika Selatan.

Sementara itu,pendirian teguh dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin selain amalan dasar luar yang bebas menjadikan Malaysia model islam terbaik untuk dicontohi.

Perkara itu disuarakan pemimpin Republik Kyrgyzstan,Kazakhstan dan Uzbekistan dalam lawatan rasmi Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar pada Mei lalu.

Ketibaan Datuk Seri Anwar di tiga buah negara berkenaan turut disambut dengan penghormatan tinggi oleh Perdana Menteri negara tersebut.

"Mereka memandang tinggi kepada negara kita. Mereka melihat negara kita khususnya Uzbekistan dan Kazakhztan mempunyai penduduk yang hampir sama tetapi mereka punya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jauh tertinggal kebelakang dari Malaysia dan perkapita pendapatan penduduknya juga jauh."

"Mereka ingin belajar dari Malaysia bagaimana cara dalam membangunkan negara yang baharu merdeka. Walaupun sudah merdeka,mereka masih menggunakan cara lama," tambah Mohamad bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sri gading,Aminolhuda Hassan.