Penyasaran subsidi positif kepada penarafan hutang negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,18 Jun-Inisiatif rasionalisasi subsidi akan memberi prospek penarafan hutang yang lebih positif kepada Malaysia.

Jelas Pensyarah Kewangan Islam,Qatar Foundation,Prof. Madya Eskandar Shah Mohd Rasid,penyasaran semula subsidi mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam usaha pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal.

Komitmen itu,akan menjadi petunjuk kepada agensi penarafan kredit antarabangsa seperti Moody’s,Fitch Ratings dan S&P Global Ratings mengenai kredibiliti dan disiplin fiskal kerajaan.

"Panduan yang asas kepada mana-mana negara iaitu kedudukan fisikal mestilah bagus supaya kita punya penarafan bagus.

"Jadi bila penarafan bagus ia memberi keyakinan kepada para pelabur asing kepada negara akan bagus.

"Itu menunjukkan disiplin,keseimbangan dari segi kewangan kita",ujarnya ketika ditemui RTM di sini.

Jelasnya,penarafan kredit lebih baik berupaya merancakkan aktiviti pasaran modal dan merangsang kemasukan pelaburan langsung asing.

Ini sekali gus menggalakkan permintaan mata wang tempatan dan mengukuhkan kedudukan Ringgit.

Tahun lalu,Moody’s mengekalkan penarafan kredit negara pada 'A3' stabil,disusuli penarafan ‘BBB+' dengan tinjauan stabil oleh Fitch Ratings.

Manakala,S and P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing 'A-' jangka panjang dan 'A-2' jangka pendek.