Harga telur ayam gred A, B, C turun 3 sen sebiji, mulai hari ini

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,17 Jun - Harga runcit telur ayam gred A,B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji.

Berkuatkuasa hari ini harga runcit bagi telur ayam gred A,B dan C masing-masing turun kepada 42 sen,40 sen dan 38 sen sebiji.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan berkata,tindakan itu selaras usaha kerajaan mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

"Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta,manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta," katanya.

Perdana Menteri berkata harga runcit bagi telur di Sabah,Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan perkembangan semasa yang menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.

"Ingin saya tegaskan,masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat," katanya.